Tuesday, July 21, 2009

United bergelut sebelum menang




KUALA LUMPUR - Sir Alex Ferguson sekali lagi menghamburkan pujian buat skuad kebangsaan sambil mengakui Manchester United terpaksa bergelut sebelum menang 2-0 dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Menurutnya, para pemain kebangsaan mempamer peningkatan berbeza berbanding skuad 2001, di mana mereka menang besar 6-0.

Malahan Ferguson lebih banyak memuji persembahan pemain negara semalam berbanding ketika pasukannya hampir dikejutkan sebelum menang 3-2 pada perlawanan pertama Sabtu lalu.

"Saya terkejut melihat mereka telah banyak berubah pada perlawanan hari ini (semalam) dan juga Sabtu lalu.

''Ia sama sekali berbeza berbanding sembilan tahun lalu. Skuad kali ini bertenaga, mereka begitu ghairah untuk mengejar bola dan membuatkan kami terpaksa bergelut," katanya dalam sidang media semalam.

Jelasnya, pemain yang diturunkan oleh K. Rajagobal semalam lebih bertenaga dan memiliki kelajuan luar biasa sehingga memberi mampu ancaman kepada pasukannya.

"Mereka memiliki kelajuan cuma penyudahnya rata-rata pemain anda perlu memperbaikinya.

"Bagaimanapun segala pergerakan dan keputusan yang dilakukan mereka di atas padang boleh dibanggakan," katanya pengendali berbangsa Scotland itu.

Ferguson juga amat berpuas hati dengan pemain muda yang diturunkan seperti Fabio dan Federico Macheda, di mana mereka mampu memberi persembahan terbaik.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata, penyudah tumpul dan pertahanan goyah merupakan punca hasrat skuad kebangsaan lebur untuk mengulangi persembahan cemerlang seperti Sabtu lalu.

Kata beliau, ketiadaan penyudah yang berkesan di jentera serangan tidak sepatutnya berlaku jika mahu memberi tentangan ke atas pasukan handal seperti United.

"Kita perlukan penyudah yang baik apabila berdepan pasukan kuat seperti United.

"Namun ia gagal dijelmakan. Kita ada sekurang-kurangnya dua peluang gol di babak pertama namun ia gagal disempurnakan. Pertahanan kanan dan kiri juga tidak berfungsi dengan baik hari ini.

"Inilah punca kita terpaksa melepaskan gol di awal permainan," katanya.

Tambah Rajagobal, skuad bimbingan Ferguson juga menurunkan skuad berbeza di babak pertama berbanding pertama pertama.

"Aksi mereka lebih bertenaga dengan percaturan skuad berbeza yang diturunkan pada malam ini.

"Ternyata mereka lebih bersedia untuk perlawanan ulangan ini.

"Untuk mengimbangi perlawanan, saya membuat pertukaran di babak kedua dengan memasukkan pemain muda.

"Dan saya berpuas hati dengan aksi di babak kedua kerana kita banyak melalukan asakan walaupun gagal memperoleh jaringan," katanya.

No comments: