Saturday, July 18, 2009

Malaysia 2 Manchester United 3

KUALA LUMPUR 18 JULAI 2009 - Pemain Malaysia, Mohd Amri Yahyah, cuba merampas bola dari pemain Manchester United, Anderson, pada Perlawanan Persahabatan Malaysia lawan Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Malaysia 2 Manchester United 3

Pemain baru Manchester United Michael Owen menghancurkan harapan Malaysia untuk mencatat keputusan seri dengan United tetapi penyerang Selangor, Amri Yahyah wajar dipuji dengan mencuri dua gol sekalipun Malaysia kalah 3-2 kepada Manchester United dalam perlawanan bola sepak persahabatan, di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini sekaligus meletakkan bintang Selangor itu sebagai pemain Malaysia yang kedua yang berjaya menembusi gawang pasukan Inggeris sebanyak dua kali sejak Matlan Marjan pada 1991.

Lebih 80, 000 orang yang menyaksikan perlawanan itu ternyata terhibur dengan persembahan yang dipamerkan United dan Malaysia.

United memulakan aksi terlebih dahulu dengan mendahului seawal minit ke-8 apabila Wayne Rooney melakukan penyudahan mudah menewaskan penjaga gol negara Farizal Marlias.

United hampir menjadikan kedudukan 2-0 tetapi kali ini Farizal berada di posisi yang betul untuk menyelamatkan keadaan.

Malaysia kemudian mengemaskan rentak permainan dan berjaya mengimbangi rentak permainan United buat seketika. Namun benteng Malaysia sekali lagi dibolosi pada minit ke-27 kali ini menerusi Nani hasil gerakan cantik dari sebelah kiri kotak penalti Malaysia yang dimulakan Wayne Rooney.

Malaysia yang ketinggalan dua gol berusaha keras untuk menembusi pertahanan yang digemudi Rio Ferdinand. Usaha keras Malaysia berhasil apabila Amri yang tidak dikawal berjaya mengamatkan stadium menerusi gol volley dari sebelah kanan luar kotak penalti melepasi jangkauan van der Sar pada minit ke-45.

Bermula separuh masa kedua Manchester United melakukan pertukaran dengan memasukkan Ben Foster menggantikan van der Sar. Pertukaran tersebut tidak sama sekali mengganggu Malaysia apabila Amri sekali lagi menembusi gawang United buat kali kedua selepas kegagalan Foster menampan kemas hantaran pertahanan United pada minit ke-52.

Aksi selepas itu lebih banyak dikuasai United berbanding Malaysia yang lebih banyak bertahan.

Sir Alex kemudian membuat pertukaran di barisan hadapan United dengan memberikan Michael Owen penampilan pertamanya bersama United.

Kira-kira lima minit sahaja perlawanan bakal berakhir, Owen menghancurkan harapan Malaysia untuk mencatat keputusan seri menerusi gol mudah didalam kawasan penalti selepas berlakunya situasi kelam kabut dalam kawasan kotak penalti Malaysia.






Video detik-detik perlawanan Malaysia dan Manchester United di Stadium Bukit Jalil pada 18 Julai 2009

komen DJ NR***

oklah... teruskan prestasi sebegini..Malaysia Boleh..

No comments: