Saturday, August 28, 2010

Bantuan Aidilfitri kakitangan awam Rabu 1 Sept 2010

2010/08/28
KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk 1.24 juta kakitangan awam sempena Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri, Khamis lalu akan mula dibayar pada Rabu, 1 September ini manakala pesara akan menerima bayaran pada 6 September (Isnin).

Menurut pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam, bayaran bagi pesara yang menerima pencen menerusi waran akan diposkan sebelum tarikh berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2010 menyatakan Bantuan Khas Kewangan itu dibayar kepada kakitangan awam yang berkhidmat pada tahun ini.

Katanya, perkiraan Bantuan Khas Kewangan adalah tertakluk kepada genap satu bulan perkhidmatan dan kiraan genap satu bulan perkhidmatan bermaksud satu bulan kalendar.

Thursday, August 26, 2010

Dapat bantuan raya RM500

2010/08/26

KUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan semalam mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan RM500.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam satu kenyataan semalam, bayaran itu bagi petugas dalam Gred 1 hingga 54 serta pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.


“Keputusan ini diambil selepas mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara terutama bagi meringankan persediaan Aidilfitri,” katanya yang juga Menteri Kewangan. Katanya, bayaran itu membabitkan RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara. - Bernama

Sunday, August 15, 2010

8 ditahan merokok pada siang Ramadan

2010/08/14
GEORGETOWN: Tindakan agresif seorang warga emas yang enggan menyerahkan kad pengenalannya untuk diperiksa mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Ramadan di Lorong Kulit di sini, kelmarin.
Warga emas berusia 50-an itu antara lapan lelaki ditahan dalam beberapa lokasi berasingan kerana menghisap rokok secara terbuka dan tidak menghormati Ramadan sepanjang dua hari umat Islam berpuasa.


Dalam pemeriksaan pada hari pertama, sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menahan dua lelaki di kawasan Lorong Kulit dan Butterworth.


Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, dalam operasi kira-kira jam 10.30 pagi di kawasan Lorong Kulit itu seorang lelaki warga emas dilihat menghisap rokok di tempat terbuka tanpa segan silu.


Beliau berkata, ketika menghampiri warga emas berkenaan dia enggan memberikan kerjasama kepada pegawai penguat kuasa agama apabila diminta menyerahkan kad pengenalannya untuk diambil keterangan diri.

Wednesday, August 11, 2010

Malaysia nafi tindas masyarakat Orang Asli

KUANTAN 10 Ogos - Kerajaan menafikan dakwaan kononnya melakukan penindasan ke atas masyarakat Orang Asli sebaliknya menganggap Malaysia merupakan negara terbaik di dunia yang membela kaum pribumi itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, tohmahan itu adalah tidak berasas kerana kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat Orang Asli berbanding negara lain yang mempunyai penduduk pribumi.

''Jika benar ada penindasan, tidak akan ada 279 pelajar Orang Asli yang memasuki universiti awam dan berjaya mendapat pekerjaan. Kita juga mewujudkan sebuah hospital khas di Gombak dan sebuah klinik bergerak bagi kemudahan mereka.

''Kalau ada tohmahan itu, ia tidak benar sama sekali dan saya yakin apa yang kita lakukan adalah lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh negara lain.

''Ini kerana, kerajaan sentiasa menyusun dengan baik langkah-langkah membangun dan memajukan Orang Asli pada masa kini dan akan datang," katanya selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan isu utama komuniti Orang Asli di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan melalui laman webnya yang mendakwa berlaku penindasan di kalangan Orang Asli di Malaysia seperti masalah eksploitasi dan rampasan tanah, wilayah dan sumber asli yang berterusan oleh pihak kerajaan dan syarikat swasta.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.