Wednesday, August 11, 2010

Malaysia nafi tindas masyarakat Orang Asli

KUANTAN 10 Ogos - Kerajaan menafikan dakwaan kononnya melakukan penindasan ke atas masyarakat Orang Asli sebaliknya menganggap Malaysia merupakan negara terbaik di dunia yang membela kaum pribumi itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, tohmahan itu adalah tidak berasas kerana kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat Orang Asli berbanding negara lain yang mempunyai penduduk pribumi.

''Jika benar ada penindasan, tidak akan ada 279 pelajar Orang Asli yang memasuki universiti awam dan berjaya mendapat pekerjaan. Kita juga mewujudkan sebuah hospital khas di Gombak dan sebuah klinik bergerak bagi kemudahan mereka.

''Kalau ada tohmahan itu, ia tidak benar sama sekali dan saya yakin apa yang kita lakukan adalah lebih baik daripada apa yang dilakukan oleh negara lain.

''Ini kerana, kerajaan sentiasa menyusun dengan baik langkah-langkah membangun dan memajukan Orang Asli pada masa kini dan akan datang," katanya selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan isu utama komuniti Orang Asli di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan melalui laman webnya yang mendakwa berlaku penindasan di kalangan Orang Asli di Malaysia seperti masalah eksploitasi dan rampasan tanah, wilayah dan sumber asli yang berterusan oleh pihak kerajaan dan syarikat swasta.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail.

No comments: