Tuesday, July 21, 2009

'Pertahanan kita agak lemah, gerakan serba tak kena'

AKSI longlai dan serba tak kena.

Itu yang dipamerkan oleh skuad negara ketika tewas 0-2 kepada Manchester United pada aksi persahabatan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Skuad bimbingan K. Rajagobal (gambar) itu seakan hilang rentak apabila gagal mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika tumpas 2-3 pada aksi pertama Sabtu lalu.

Keletihan mungkin menjadi faktor utama kepada prestasi hambar skuad negara malam tadi apabila Rajagobal hanya membuat satu pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding Alex Ferguson yang merombak hampir keseluruhan skuadnya.

"Saya rasa kebanyakan pemain kita agak keletihan kerana saya hanya membuat satu perubahan dalam skuad yang beraksi pada perlawanan pertama manakala United pula menurunkan pemain yang masih cergas dan bertenaga," kata Rajagobal pada sidang akhbar semalam.

"Kita terlepas dua gol mudah kerana pertahanan kanan dan kiri agak lemah.

"Walaupun kita bermula agak hambar, ada juga gerakan berbahaya dilakukan ke atas kubu mereka (United), cuma penyudah sahaja yang tidak menjadi.

"Apa pun, saya berpuas hati dengan aksi pemain kita pada babak kedua selepas beberapa pemain muda dimasukkan. Ini sesuatu yang bagus bagi mereka kerana apa yang diperoleh pada malam ini (malam tadi) adalah satu pengalaman yang berharga," tambah Rajagobal.

Sementara itu, pengurus The Red Devils, Alex Ferguson kurang berpuas hati dengan aksi pemainnya yang dilihat masih mencari rentak biarpun perlawanan semalam adalah aksi kedua mereka dalam siri jelajah pramusim ke Asia.

"Ini adalah aksi kedua kami, jadi pemain sepatutnya beraksi dengan lebih baik berbanding Sabtu lalu," kata Fergu- son.

"Keadaan padang juga agak kurang baik dan ini menyukarkan lagi pergera- kan pemain dan hantaran bola sesama mereka.

"Begitupun ini bukan masalah besar. Apa yang kami perlukan ialah masa untuk terus memantapkan lagi persefa- haman."

Walaupun kecewa dengan jaringan 2-0, Ferguson tetap berpuas hati dengan aksi pemain mudanya, Macheda, Zoran Tosik dan Anthony Gibson.

No comments: