Sunday, July 19, 2009

Perlawanan ulangan isnin 20 Julai 2009



MUNGKIN ia bonus buat pemain skuad kebangsaan selepas mempamerkan persembahan membanggakan ketika tewas tipis 2-3 kepada Manchester United di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents, Julian Kam selaku penganjur Jelajah United ke Asia mengumumkan (selepas perlawanan semalam) bahawa satu lagi perlawanan antara Manchester United dengan skuad negara akan berlangsung di stadium yang sama malam esok.

"Perlawanan kedua antara Malaysia dan United ini diadakan bagi menggantikan perlawanan antara Pilihan Indonesia dengan United yang dijadualkan berlangsung di Jakarta pada Isnin (esok) tetapi terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan.

"Jadi perlawanan ini akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada pukul 8.45 malam Isnin (esok)," katanya pada sidang media sejurus selepas perlawanan semalam.

Tiket-tiket bagi perlawanan malam esok berharga RM58 bagi semua tempat duduk kecuali RM308 bagi tempat duduk grand- stand.

"Apabila melihat 85,000 penonton membanjiri stadium hari ini (semalam), kita memberi peluang semula kepada mereka yang mahu menonton lagi perlawanan ini dan juga mereka yang tidak berkesempatan menonton hari ini (semalam)," jelasnya.

Tiket-tiket akan mula dijual di semua outlet TicketPro mulai hari ini dan juga di Pintu Hijau Stadium Nasional pada hari ini (12 tengah hari hingga 7 petang) dan esok dari pukul 12 tengah hari sehingga perlawanan bermula.

"Tiket grandstand RM308 hanya dijual secara online menerusi www.ticketpro.com.my dan juga outlet Ticket- Pro. Ia tidak dijual di stadium," katanya.

Sementara itu, Julian berkata, pihaknya akan menyediakan 3,000 tempat duduk untuk peminat yang telah membeli tiket pertemuan Indonesia-United.

"Mereka yang telah membeli tiket untuk aksi di Jakarta, Indonesia itu boleh menukar tiket mereka di kaunter khas di Stadium Nasional pada hari Isnin bermula pukul 12 tengah hari hingga 7 petang," ujarnya.

No comments: