Wednesday, November 19, 2008

20,000 ketua keluarga Orang Asli dikurnia tanah

SLIM RIVER 18 Nov. – Kira-kira 20,000 ketua keluarga Orang Asli di seluruh negara akan menerima tanah milik kekal berkeluasan antara 0.8 hingga 2.4 hektar untuk pertanian.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, kerajaan juga akan mengurniakan mereka tanah berkeluasan 464 meter persegi hingga 0.1 hektar bagi tapak rumah.

Beliau berkata, kelulusan pemberian tanah berkenaan dibuat oleh Jemaah Menteri pada 7 November lalu mengikut Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Kepada Orang Asli.

‘‘Langkah terbaru itu adalah bagi menjamin masyarakat Orang Asli mendapat hak milik tanah kekal kerana sebelum ini mereka hanya mempunyai hak mengguna tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Teras di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut merasmikan Dewan Kampung Sungai Teras, menyampaikan kunci rumah kepada 10 peserta Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan sumbangan makanan.

Muhammad berkata, tanah yang bakal dikurniakan itu merupakan kawasan yang telah diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli di bawah Seksyen 7, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Kata beliau, ia juga melibatkan tanah yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri tetapi belum diwartakan sebagai Tanah Rizab Orang Asli.

‘‘Melalui dasar ini, usaha pembasmian kemiskinan tegar kalangan Orang Asli dapat dilakukan dengan lebih cepat malah taraf hidup dan sosioekonomi mereka juga bakal meningkat menerusi kegunaan tanah ladang dan kediaman secara sistematik.

‘‘Secara tidak langsung, kita juga dapat mengatasi penempatan berselerak Orang Asli yang suka berpindah randah sehingga menyukarkan kerajaan menyediakan prasarana dan mengelakkan tanah-tanah yang diduduki Orang Asli dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, tanah tersebut akan dibangunkan terlebih dahulu dengan tanaman kelapa sawit atau getah oleh agensi kerajaan seperti Felda dan RISDA.

Jelas beliau, kerajaan juga bersetuju jika tanah terbabit dimajukan dengan projek perladangan oleh syarikat swasta mahupun koperasi Orang Asli sendiri sebelum surat milik tanah dikeluarkan.

Katanya, surat hak milik tanah akan dikeluarkan selepas ladang tanaman yang diusahakan itu mencapai tempoh matang iaitu lima tahun untuk tanaman kelapa sawit dan tujuh tahun untuk tanaman getah.

‘‘Pembangunan tanah ladang akan dilaksanakan berdekatan penempatan asal Orang Asli di lokasi yang sama bagi menggalakkan penyertaan Orang Asli setempat.

‘‘Mereka dijangka memperoleh pendapatan sehingga RM2,000 sebulan bergantung kepada harga pasaran semasa,” katanya.

Kata Muhammad, tanah tersebut tidak boleh dipindah milik selama 15 tahun oleh pemilik pertama dan hanya boleh dipindah milik kepada Orang Asli sahaja.

‘‘Tanah ini juga tidak boleh disewakan, dipajak, digadai atau dilepaskan dengan cara lain,” katanya.

Menurut beliau, dasar itu dijangka dapat dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Besar dan Ketua Menteri pada mesyuarat Majlis Tanah Negara awal tahun depan.

Sehingga kini, pihak kementerian menerusi Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dengan kerjasama Risda dan Felcra telah membangunkan lebih 24,000 hektar tanah dengan tanaman getah dan kelapa sawit menerusi 167 projek perladangan kepada Orang Asli.


Nota****
Kat Konti keje aku promo je...DJ Mahat yang gie buat cover kat sana ..OUTSTATION RECORDING....aku sign je OT diaorang....hahahahahahaha..ASYIKfm!!!!!!!!!!!!!

2 comments:

amrisime said...

hello bro!
TQ for the info. ader ruang tak untuk koperasi nak jadi pembekal untuk keperluan pertanian mereka yang dapat tanah ni?

rgds
meor

amrisime said...

ASYIK FM, SEMPOI....