Wednesday, November 19, 2008

Keey Loi Juara Asyik 2007


ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 29/10/2007

HANYA Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja yang membuka ruang untuk golongan Orang Asli mengembangkan bakat mereka dalam bidang seni. Tidak dinafikan golongan minoriti ini juga berkemampuan seperti kaum lain namun mereka tidak diberi peluang.

Kini dengan adanya penganjuran pertandingan Juara Asyik oleh radio ASYIKfm, golongan Orang Asli yang terdiri daripada pelbagai suku kaum itu mampu berkarya seperti orang lain.

Malah pemilihan kumpulan Keey Loi dari suku kaum Semai dan Semelai sebagai johan pertandingan Juara Asyik itu mampu membakar semangat rakan-rakan mereka yang lain.

Pertandingan akhir Juara Asyik telah disiarkan secara langsung menerusi RTM1 pada pukul 8.30 malam kelmarin dari Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Keey Loi yang dianggotai oleh Mohidin Katak (bass), Johan Bah Kap (vokalis), Sharizal Udin (gitar utama) dan Mohd. Amri Udin (drammer) itu bagaikan tidak percaya mereka mampu muncul sebagai juara.

Johan yang mendendangkan lagu Resah, ciptaan Sharizal dan Hakikat Perjuangan (Search) dengan gaya tersendiri berjaya memikat hati lima juri profesional yang diketuai oleh Muhamad Asnawi Mutaal dari RTM.

Lain-lain juri yang mengadili pertandingan tersebut dari segi vokal, kepakaran bermain muzik, persembahan dan penampilan ialah komposer Fauzi Marzuki, Johari Teh, Khoo Fook Sin dan Azhar Mohd. Sharif.

Menurut Johan, kelapan-lapan kumpulan yang layak ke peringkat akhir mempunyai kelebihan tersendiri.

Terkejut

“Memang terkejut kerana kami tidak sangka akan muncul sebagai juara. Ini bukanlah pertandingan pertama kami. Sebelum ini kami pernah menyertai pertandingan Rentak Juara tapi tidak ada rezeki,” katanya mewakili rakan-rakan.

Johan yang meminati gaya persembahan Amy Search itu berharap lebih banyak pertandingan yang membabitkan kaum Orang Asli diadakan di masa akan datang.

Meskipun meminati irama rock, namun Johan berkata kumpulan mereka tidak akan melupakan adat budaya.

“Untuk pertandingan ini kami mengambil pendekatan yang mudah dan memandangkan irama rock mudah diterima jadi lagu yang dicipta pun ke arah itu,” jelasnya.

Dengan kejayaan itu, Keey Loi yang berasal dari Kampung Sungai Sampo, Jempol, Negeri Sembilan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000.

Sementara Sharizal yang memenangi wang tunai RM2,000 menerusi kategori Pencipta Lagu Terbaik berkata, dia mengambil masa selama tiga minggu untuk mencipta lagu Resah.

Bagi kumpulan X-Gerimis yang dianggotai oleh Sharman Sulak (gitar utama), Sujak Suak (gitar kedua), Diza Sukri Idris (bass), Muhamad Shahrul Amri Mohd. Fathi Awal (drammer) dan Mirzamardzan Saney Sambut (vokalis) menduduki tempat kedua juga merupakan satu kejayaan.

Tidak kecewa

Menurut Sharman, mereka tidak kecewa kerana masih banyak lagi yang perlu diperbaiki daripada segi persembahan.

“Kejayaan kami mungkin disebabkan tahap persembahan kami setakat itu sahaja. Kami akan memperbaiki lagi persembahan di masa akan datang,” katanya yang turut mencipta lagu Kau Dan Aku.

Jelasnya, lagu tersebut dicipta dalam masa tiga hari dan itulah lagu pertama yang diciptanya.

Kumpulan dari suku kaum Temuan yang berasal dari Kampung Senibai, Johol, Negeri Sembilan itu sering mengadakan persembahan di rumah orang kahwin.

“Seperti kumpulan muzik lain, kami juga menyimpan impian untuk menghasilkan album. Kami harap ada pihak yang sudi untuk memberi ruang kepada kumpulan muzik Orang Asli untuk terus maju kerana di kalangan kami pun ada yang berbakat,” katanya.

Kumpulan X-Gerimis yang menjadi naib johan menerima wang tunai RM8,000, trofi dan sijil penyertaan.

Sementara kumpulan D’Yal yang mempertaruhkan lagu Bunga dan Tak Mungkin tampil menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Kumpulan yang berasal dari Pos Iskandar, Bera, Pahang itu dianggotai oleh Arman Ali (vokalis), Harun Samat (bass), Zanira Ali (gitar utama) dan Norsahrol Ali (drammer).

Menurut Arman, inilah pertama kali mereka menyertai pertandingan. Biarpun tanpa alat muzik, namun mereka masih mampu menarik perhatian juri.

“Kesemua anggota D’Yal tidak ada alat muzik. Kami tidak mampu memilik alat muzik kerana kami semua bekerja kampung. Kalau berlatih pun kami hanya menyewa sahaja. Apa pun kami gembira kerana usaha kami selama ini berbaloi,” katanya.

D’Yal yang terdiri daripada suku kaum Semelai itu menerima wang tunai RM5,000.

Lain-lain kumpulan yang turut bertanding pada peringkat akhir Juara Asyik ialah D’Men, A’Boyz, Pearl, Bencaq dan Destinasi BT.

Selain persembahan peserta, penonton turut dihiburkan dengan dendangan daripada kumpulan Itosii, Saleem, Aremeer (Sofaz) dan Zamani.


NOTA***Jenuh nak menerbit program nie..Tahun 2009 ada lagi...waduh waduh...pening pening....

2 comments:

chop said...

JUARA ASYIK SOLO PULAK BAKAL MENJELMA..,JOK KITA REMPOH CBARAN SOLO MCM POKOS DAN ATOKNYA...
HAHAHAHA..

badrulez said...

Bro,mcam mna nk dgar lagu2 yang diorng pernah nyanyi time pertandingan ni,aku dapat cari lagu Aboy je iaitu psar mlam kahang?..camna ea..plizzzzz