Wednesday, November 19, 2008

Orang Asli semakin pandai



TEMERLOH 16 Nov. - Kejayaan lima pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini menafikan pandangan sesetengah pihak kononnya kaum minoriti itu tidak menitikberatkan pelajaran anak-anak.
Kejayaan itu dibuktikan oleh seorang penoreh getah, Jasni a/l Kimoy, 36, dari suku kaum Jahud apabila dua anaknya berjaya memperoleh keputusan 5A dalam UPSR 2007 dan tahun ini.

Menurut Jasni, kejayaan dua daripada empat anaknya itu membuktikan Orang Asli juga boleh berjaya dan mampu bersaing dengan kaum lain jika mereka berusaha bersungguh-sungguh.

''Saya memang menitikberatkan pelajaran anak-anak. Saya akan pastikan mereka memenuhi rekod kehadiran 100 peratus ke sekolah kecuali jika sakit.
''Apabila anak saya melangkah ke tahun empat, saya menghantar mereka ke asrama supaya boleh memberikan tumpuan sepenuhnya pada pelajaran dan dalam masa sama dapat berdikari," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasu dekat sini hari ini.

Anak Jasni, Shahizah, 12, adalah antara lima pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Penderas, Kuala Krau dekat sini yang mendapat keputusan 5A dalam UPSR yang diumumkan Khamis lalu.

Pada tahun lalu, kakak Shahizah iaitu Zuhaizah, 13, yang kini belajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SMSSAH), Kuantan mendapat keputusan sama dalam UPSR,
Menurut Jasni, dia sentiasa menziarahi anaknya di asrama untuk melihat kemajuan pelajaran dan memberikan perangsang supaya dapat belajar dengan tekun.
Katanya, dia tidak mahu mereka mewarisi kemiskinan dan meneruskan cara hidup keluarganya yang bergantung pada hasil jualan getah yang tidak seberapa.
Sehubungan itu, Jasni berharap kejayaan kedua-dua orang anaknya itu menjadi contoh kepada masyarakat Orang Asli lain di negara ini.

Katanya, hanya melalui pelajaran, kehidupan masyarakat Orang Asli boleh berubah kerana kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pelajaran untuk mereka.
Dia turut menasihati semua ibu bapa masyarakat Orang Asli supaya sentiasa berjumpa guru sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk mengetahui perkembangan anak masing-masing.

''Saya sentiasa berjumpa dengan guru yang mengajar anak saya. Setiap kali berjumpa, guru memberikan kata semangat supaya mereka menjadi perintis bagi mengubah kehidupan masyarakat Orang Asli agar dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain di negara ini.

''Semasa cuti sekolah saya memantau perkembangan mereka setiap masa dan akan menyemak buku-buku pelajaran dan membaca apa yang mereka pelajari," katanya.
Shahizah pula memberitahu, kejayaannya itu bukan sahaja menjadi kebanggaan kedua-dua ibu bapanya tetapi turut dikongsikan bersama masyarakat kaum Jahud kerana berjaya membuktikan pelajar Orang Asli SK Penderas sekali lagi mampu mencipta sejarah dalam peperiksaan tersebut.

Pada tahun lalu, katanya, dua pelajar Orang Asli dari sekolah yang sama mendapat keputusan 5A termasuk kakaknya.
''Saya juga bercita-cita menjadi saintis seperti kakak. Sebab itu saya belajar bersungguh-sungguh dan memberi perhatian semasa guru mengajar serta mendengar cakap kedua-dua orang tua.

''Saya belajar dan mengulang kaji pelajaran mengikut jadual yang disediakan serta berbincang dengan rakan-rakan dan berkat usaha itu akhirnya saya memperoleh 5A," katanya menjadikan Zuhaizah sebagai ikon.
Sementara itu, Zuhaizah berkata, dia bangga apabila adiknya mengulangi kejayaan yang dicapainya dalam UPSR tahun lalu.

Dia turut seronok belajar di SMSSAH kerana wujud persaingan antara pelajar untuk mencapai kejayaan dalam akademik.

"Walaupun begitu, saya menjadikan persaingan sengit antara rakan-rakan sebagai pembakar semangat untuk saya mengejar cita-cita menjadi saintis suatu hari nanti," katanya.

Nota****
tempat aku ramai lagi tak sekolah...padahal sekolah depan mata...pinggir bandar lak tue...fikirkanlah

No comments: