ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 27/12/2006
Oleh: ABD. AZIZ ITAR
PENUBUHAN sesebuah stesen radio tentunya mempunyai matlamat yang tersendiri selain berperanan untuk menyalurkan maklumat serta hiburan kepada para pendengarnya.
Stesen radio Asyik fm juga tidak terkecuali mempunyai hala tujunya yang jelas iaitu memberi tumpuan kepada pendengarnya yang terdiri daripada kalangan masyarakat Orang Asli.
Pengawal Asyik fm, Mariama Uda Nagu, 44, berkata, matlamat penubuhan stesen radio itu antara lain adalah bagi memberi pendidikan dan motivasi kepada suku kaum Orang Asli supaya mereka juga mampu bersaing dengan kaum lain di negara ini.
“Lebih 90 peratus program-program yang disiarkan menerusi Asyik fm adalah berorientasikan kepada pendidikan.
“Antaranya kami memberi tumpuan kepada hal-hal yang berkaitan dengan pembangunan pertanian. Ia bagi membantu kerajaan menjayakan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).
“Selain itu kami juga memberikan penekanan kepada program motivasi dengan menjemput usahawan-usahawan atau tokoh-tokoh tertentu.
“Segmen-segmen seperti itu diharap dapat membantu mempertingkatkan kemajuan Orang Asli pada masa depan,” katanya sewaktu ditemui di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Mariama, fokus siaran yang berunsur pendidikan kepada Orang Asli merupakan agenda penting Asyik fm biarpun agenda asal siaran stesen radio itu adalah bagi membendung ancaman komunis pada hujung tahun 1950-an.
Katanya, ternyata objektif awal penubuhan stesen yang asalnya dikenali sebagai Siaran Orang Asli itu berjaya mengekang ancaman anasir subversif Parti Komunis Malaya (PKM).
“Hasil gabungan itu mereka telah berjaya mengadakan satu program bersepadu yang dinamakan Kempen Gerak Saraf Anti Komunis. Ternyata kempen itu berjaya mencapai matlamatnya,” ujarnya.
Biarpun sudah 47 tahun ditubuhkan tetapi Asyik fm yang berfrekuensi melalui gelombang pendek 6050 khz, 91.1 FM, 102.5 FM dan 105.1 Mhz itu hanya ke udara selama sembilan jam sehari.
Asyik fm bersiaran dari pukul 1 tengah hari hingga 10 malam setiap hari, manakala mulai 1 Januari 2007 pula stesen ini akan bersiaran mulai pukul 8 pagi hingga 10 malam.
Waktu siaran itu bersesuaian dengan populasi masyarakat Orang Asli yang hanya berjumlah 147,412 orang daripada 18 suku kaum.
Selain waktu siaran yang terhad, bahasa pengantar yang digunakan menerusi siaran Asyik fm juga terpaksa dibahagikan kepada empat bahasa suku kaum utama Orang Asli di negara ini iaitu Semai, Temiar, Jakun dan Temuan.
“Buat masa ini kami bersiaran selama sembilan jam sehari. Jadi, kami bersiaran menggunakan tiga bahasa pengantar yang mana setiap satunya mengambil masa tiga jam.
“Satu hari kami hanya dapat menggunakan tiga bahasa dan bahasa selebihnya akan digunakan pada hari berikutnya,” jelasnya.
Stesen Asyik fm yang ditubuhkan pada tahun 1959 itu pada mulanya hanya menggunakan bahasa suku kaum Orang Asli Semai dan Temiar sebagai bahasa pengantarnya.
Bagaimanapun mulai tahun 2001, stesen radio di bawah naungan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) itu turut menggunakan bahasa suku kaum Jakun dan Temuan sebagai bahasa pengantarnya.
Sama seperti stesen radio lain, Asyik fm yang mempunyai purata 51,000 pendengar itu juga menyiarkan seleksi lagu-lagu popular yang terdiri daripada Melayu sebanyak 60 peratus, manakala 30 peratus lagi merupakan lagu-lagu tradisional Orang Asli.
Penerbit dan penyampai Asyik fm terdiri daripada
Noriman Adnan, Pandak A/L Pandak Tah, Long Alias Mat Ya, Mahat Anak China, Azizah Mat, Nyon Harun, Majid Adik, Rozima Simpan, Azlina Alam, Zainab Akin, Norhaiza Udoh, Anitudin Pak Pit, Ismail Ombong, Laili Apeng, Busu Ngah, Angai Pedik, Azizah Ngah dan Azmal Isrul Ismail.
No comments:
Post a Comment