Friday, May 15, 2009

Tujuh asas disiplin diri


Ramai yang merungut kerana tidak cukup masa, tidak cukup duit dan sebagainya. Cuba tanamkan tujuh asas ini untuk ketenangan diri dan kestabilan kewangan.

TUJUH perkara yang perlu dibahagikan sama rata apabila anda menguruskan masa seharian, bulanan dan tahunan adalah kerohanian, kekeluargaan, kesihatan, kewangan, kerjaya, perkhidmatan dan pendidikan.

Apabila melakukan konsep ini dengan sama rata, anda berpeluang membina kehidupan yang lebih seimbang. Sama anda seorang ibu atau ayah, pendidik, doktor, peniaga ataupun pelajar, konsep ini boleh digunakan oleh sesiapa saja yang ingin melaksanakan matlamat hidup mereka.

Apabila anda dapat mengimbangi ketujuh-tujuh perkara di atas, anda akan dapat merasakan kenikmatan yang berpanjangan menerusi konsep ini.

Kerohanian

Mereka yang mengamalkan konsep keseluruhan insan ini berpeluang beribadah. Bukan itu sahaja, mereka juga mempunyai masa menghadiri ke kelas-kelas agama, mengaji al-Quran dan menentukan anak-anak dan ahli keluarga turut sama menyertainya. Malah, mereka mempunyai aspirasi dan moral yang tinggi iaitu suka menghulurkan bantuan dan sentiasa melakukan kerja-kerja amal. Mempunyai kadar toleransi yang tinggi dan tidak mudah menyerah kalah serta mempunyai pendirian yang teguh, antara perkara yang dapat dilalukan.

Kekeluargaan

Masa yang berkualiti adalah masa yang dihabiskan bersama suami atau isteri, anak-anak, ibu dan ayah serta adik-beradik. Mereka yang mengamalkan konsep ini mempunyai matlamat lebih mengutamakan kasih sayang, hormat-menghormati, ikhlas dan sentiasa membantu dalam apa jua masalah yang dihadapi. Apa yang penting, kejayaan yang dikongsi bersama kerana mereka tidak pernah tamak dengan segala kurniaan Allah.

Kesihatan

Kesihatan penting dalam kehidupan seseorang. Sekiranya kita bertenaga, banyak perkara dan matlamat yang boleh dilaksanakan. Paling penting ialah masa untuk bersenam. Selain menyihatkan badan, kita dapat meningkatkan minda yang cergas. Bagi yang mengamalkan konsep keseluruhan insan ini, dia seorang yang pandai membahagikan masa dan tahu tentang pemakanan yang sihat, diet dan gaya hidup yang positif.

Kewangan

Dari aspek kewangan, mereka yang mengamalkan konsep ini merupakan manusia yang pandai menghargai nikmat hidup, tidak kira besar atau kecil pendapatan mereka. Memandangkan mereka pandai menguruskan wang yang dimiliki, mereka juga sentiasa berkongsi semua keuntungan dengan ahli keluarga yang lain. Mereka juga bijak merancang dan melaksanakan rancangan-rancangan baru untuk proses penimbunan sambil mengekalkan modal untuk menjana pendapatan melalui perubahan kehidupan mereka.

Kerjaya

Dengan mengamalkan kod tata susila yang positif dan bekerja menuju ke arah produktiviti, konsep keseluruhan insan dapat mengajar seseorang mencari pengetahuan dan kemahiran melalui kerjaya mereka. Golongan ini gemar mengambil bahagian dan menyumbang kepada industri dan profesion masing-masing. Mereka juga mempunyai kelakuan yang profesional dalam menjalankan tugas harian.

Perkhidmatan

Pengamal konsep keseluruhan insan ini sentiasa menyumbang masa, tenaga dan kepimpinan serta kewangan kepada masyarakat, persatuan-persatuan bukan kerajaan, badan-badan amal dan institusi-institusi pendidikan secara sukarela tanpa mengharapkan keuntungan.

Pendidikan

Gemar hal melibatkan pemikiran dan kemahiran baru merupakan tabiat yang diamalkan golongan ini. Mereka juga suka mendapatkan idea-idea baru yang dapat membantu mereka dan keluarga memperbaiki taraf kehidupan yang diidam-idamkan.

Dengan mengamalkan konsep ini, kita akan mencapai kehidupan yang seimbang. Apabila semuanya dapat dilakukan dengan seimbang, ia bermakna kita juga akan mengecapi kebahagiaan menerusi kewangan, jasmani dan rohani. Apa saja dugaan yang dilalui, kita akan menempuhinya dengan tenang.

No comments: