PADANG BESAR 6 Mei - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditemui mati terkena satu tembakan di kepala semasa bertugas di laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, di sini hari ini.
Mayat Lans Koperal Ngah Nordin Abu, 49, ditemui rakannya kira-kira pukul 11.30 pagi ini, di pos kawalan PKC 7, Bukit Kwanchu di sini, dalam keadaan terlentang bersama selaras raifal M16.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Deros berkata, laporan awal menyebut, sebelum kejadian anggota keturunan Orang Asli Semai itu berada seorang diri di pos berkenaan.
''Apabila terdengar bunyi tembakan dari arah pos itu, rakannya bergegas ke situ dan mendapati anggota PGA tersebut dalam keadaan berlumuran darah.
''Berikutan itu, mayatnya dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk bedah siasat. Polis sudah mengambil keterangan daripada rakannya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, siasatan mendapati M16 yang ditemui di sisi mayat tersebut adalah miliknya dan punca kejadian masih disiasat.
Katanya, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut tetapi akan meneruskan siasatan terperinci.
Che Man memberitahu, mendiang yang berkhidmat dengan Kompeni A, Batalion 3 PGA Bidor, Perak, baru sehari ditugaskan di pos berkenaan.
Katanya, mendiang meninggalkan seorang balu dan tujuh anak. Mayatnya akan dihantar kepada keluarganya dalam masa terdekat untuk pengkebumian.
*** Takziah buat keluarga mendiang Lans Koperal Ngah Nordin Abu, dari kami di ASYIKfm RTM Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment