Tuesday, April 20, 2010

Pindaan Akta 134 beri manfaat kepada Orang Asli

Utusan Malaysia 20 April 2010

BERA 19 April - Lebih 150,000 Orang Asli di seluruh negara bakal mendapat pelbagai manfaat apabila pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) mengenai kaum itu dibentang pada sidang Parlimen Jun ini.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohd. Olian Abdullah berkata, kerajaan sedang meneliti secara terperinci untuk meminda akta tersebut yang akan dikemukakan kepada Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen.

"Akta tersebut sudah tidak relevan lagi dengan perkembangan negara sekarang kerana ia dibuat pada tahun 1954 bagi tujuan melindungi Orang Asli daripada menjadi mangsa kekejaman komunis.

"Pindaan akta itu nanti akan membolehkan masyarakat pribumi menikmati arus pembangunan setanding dengan rakyat yang lain," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Orang Asli di Kampung Chuat dan Kampung Bongkok dekat sini hari ini.

Menurut Mohd. Olian, pindaan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjayakan gagasan 1Malaysia bagi memastikan semua rakyat menikmati arus pembangunan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Orang Asli mengubah sikap dengan tidak lagi hidup berpindah randah kerana sukar bagi kerajaan melaksanakan pembangunan jika mereka meneruskan cara hidup sedemikian.

"Kerajaan menyediakan peruntukan ratusan juta ringgit setiap tahun bagi pembangunan Orang Asli tetapi oleh kerana mereka bertaburan di merata tempat, pembangunan terpaksa ditangguhkan atau dilaksanakan di kawasan lain terlebih dahulu," jelasnya.

Beliau berkata, di daerah ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) menyediakan pelan pembangunan terancang bagi membangunkan Pos Iskandar serta Tasik Bera.

Menurutnya, salah satu projek yang akan dilancarkan oleh kerajaan ialah menjadikan Tasik Bera dan Pos Iskandar sebagai kawasan pembangunan dan penempatan khas bagi masyarakat Orang Asli.

Kerajaan tetap bantu Orang Asli

2010/04/20
HULU BERNAM: Kerajaan menafikan dakwaan pembangkang kononnya Orang Asli termasuk di Hulu Selangor tidak dibantu terutama membabitkan hak milik tanah.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sebaliknya berkata, kerajaan akan meminda Akta Orang Asli 1954 dalam tempoh terdekat bagi menambah baik peraturan berkaitan pemilikan tanah Orang Asli.

"Kita sudah berdialog, mengadakan bengkel dan berbincang dengan persatuan Orang Asli, Majlis Peguam dan pihak berkaitan bagi memperincikan draf pindaan it
"Apabila akta berkenaan dikuatkuasakan, ia akan membolehkan tanah Orang Asli diwarta bagi mengatasi masalah pemilikan tanah.

"Kerajaan juga mahu Orang Asli bukan setakat layak dapat tanah rizab, malah berhak memiliki tanah di tempat lain," katanya selepas Program Ramah Mesra 1Malaysia Bersama Masyarakat Orang Asli Kampung Serigala, Sungai Selisik di sini, semalam.

Mohd Shafie berkata, kerajaan memperuntukkan RM300 juta di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) luar bandar yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun bagi membantu Orang Asli.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafie meminta penduduk Orang Asli supaya tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang, sebaliknya menilai apa sumbangan kerajaan kepada mereka.

No comments: