Friday, March 19, 2010

Peruntukan Tanah Orang Asli Diteliti


ARKIB : 18/03/2010
Peruntukan tanah Orang Asli diteliti

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my



Pegawai Tugas Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Ghazali Ibrahim (kiri) menerima memorandum bantahan Dasar Pemberimilikan Tanah Orang Asli daripada Majid Suhut. Turut menyaksikan penyerahan memorandum itu, Shafie Apdal dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Abd. Jabar Che Nai (tiga dari kiri) di hadapan pintu utama Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 17 Mac - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang meneliti cadangan supaya peruntukan keluasan tanah di bawah Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah kepada orang Asli dikaji semula.

Menterinya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, beberapa cadangan dalam dasar tersebut termasuk peruntukan 2.4 hektar tanah untuk tujuan aktiviti penanaman dan 0.1 hektar untuk tujuan kediaman telah menimbulkan reaksi berbeza daripada Orang Asli.

''Terdapat sedikit isu yang tidak dapat diselesaikan berhubung keluasan dan kaedah pengagihan tanah.

''Kerajaan meneliti semua cadangan yang dikemukakan malahan kami mengadakan pameran bergerak untuk mengumpul pandangan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan kira-kira 1,000 Orang Asli di kementeriannya di sini, hari ini.

Masyarakat Orang Asli itu berkumpul di sini untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan berhubung Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Kepada Orang Asli yang didakwa mengabaikan kepentingan komuniti tersebut.

Pada masa ini terdapat 141,000 Orang Asli membabitkan 18 suku menetap di seluruh Semenanjung Malaysia.

Terdahulu, dalam sesi dialog , Shafie memberi jaminan bahawa semua undang-undang mengenai Orang Asli akan digubal dengan mengutamakan kepentingan masyarakat itu.

''Rang undang-undang mengenai tanah Orang Asli akan digubal mengikut ramuan Orang Asli dengan mengambil kira keperluan Orang Asli," katanya.

Shafie bagaimanapun mahu Orang Asli bersedia menerima perubahan positif yang akan membawa kebaikan kepada golongan tersebut.

''Orang Asli tidak harus terlalu memfokus kepada tanah yang diperuntukkan kepada mereka, mereka juga patut menggunakan hak sebagai rakyat untuk memohon program perumahan rakyat dan rumah kos rendah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dua jawatan pengarah dalam Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan diisi dari kalangan Orang Asli sendiri.

''Kami juga akan meneliti cadangan supaya senator yang mewakili Orang Asli dilantik dalam Dewan Negara," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Majid Suhut berkata, masyarakat Orang Asli mahu seorang yang benar-benar mewakili masyarakat itu dilantik untuk bersuara di Dewan Negara.

''Sekarang memang ada senator dari Orang Asli tetapi dilantik atas kapasiti parti politik, kami berharap seorang senator yang betul-betul mewakili kita boleh bersuara di Dewan Negara," katanya.

No comments: