Wednesday, April 28, 2010

Tok batin tolak rasuah

ARKIB : 27/04/2010

Tok batin tolak rasuah

KUANTAN 26 April - Kegiatan rasuah tidak mengenal orang dan tempat sehinggakan masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman turut menjadi sasaran pihak yang rakus demi memenuhi kepentingan diri sendiri.

Perkara itu diakui seorang tok batin masyarakat Orang Asli, Bachok Lipan, 78, yang mengalami sendiri pengalaman cuba dirasuah di Ringlet, Cameron Highlands tahun lalu.

Kejadian berlaku pada September tahun lalu apabila seorang pengusaha kebun sayur-sayuran cuba merasuah Bachok dan beberapa penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Relong, Ringlet bertujuan menceroboh tanah di kawasan berkenaan.

''Sebaik ternampak kami, pengusaha kebun tersebut terus menawarkan RM1,000 supaya merahsiakan kegiatan mereka kepada pihak berkuasa.

''Mungkin mereka ingat kami Orang Asli tidak tahu bahawa rasuah itu salah dari segi undang-undang, tetapi mereka silap.

''Tanpa berlengah, saya dan beberapa penduduk kampung segera melaporkan perkara tersebut di Balai Polis Ringlet dan menyerahkan wang tersebut kepada SPRM," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Kempen Perangi Pemberi Rasuah di sini hari ini.

Bachok antara 16 individu yang menerima sijil penghargaan pada majlis yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail.

No comments: