Thursday, June 11, 2009

Kualiti udara negara merosot



KUALA LUMPUR 10 Jun 2009 - Kualiti udara di kebanyakan kawasan di seluruh negara pada masa ini merosot dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) direkodkan antara 51 hingga 100.

Sehubungan itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan perlu menyelenggara kenderaan masing-masing untuk mengurangkan pelepasan asap hitam.

Tambahnya, pihak industri juga digesa memastikan pelepasan benda asing daripada proses pengeluaran mematuhi piawaian alam sekitar yang telah ditetapkan.

JAS dalam kenyataannya di sini hari ini memberitahu, 32 kawasan berada pada tahap sederhana manakala 17 lagi berada pada tahap baik.

Menurutnya, penilaian itu direkodkan dari 51 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara pada pukul 11 pagi hari ini.

"Sehingga kini Pusat Meteorologi ASEAN (ASMC) mengesan 16 titik panas di Sarawak dan tujuh titik panas di Sabah.

"Titik-titik panas ini menunjukkan berlakunya kebakaran yang boleh menyumbang kepada kejadian jerebu terutamanya ketika musim cuaca panas dan kering, pelepasan asap dan habuk dari kenderaan bermotor dan industri," ujarnya.

Dalam pada itu, JAS memberitahu, ia sedang meningkatkan aktiviti rondaan udara dan darat bagi tujuan pemantauan, pencegahan dan pengesanan awal aktiviti pembakaran terbuka terutama terhadap kawasan yang telah dikenal pasti sebagai mudah terbakar.

JAS turut mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mengawal aktiviti pelepasan asap dan gas dari kenderaan bermotor dan habuk industri bagi mengawal masalah pencemaran udara negara.

No comments: