Tuesday, June 23, 2009

Gaya Komunikasi Yang Menggugat Persahabatan


Sebenarnya banyak pergaduhan dan pertengkaran dapat dielakkan sekiranya kita pandai berkomunikasi. Memang, sikap marah, merungut, membebel apatah lagi mengamuk tidak akan mengubah keadaan. Malah sikap negatif sebegini hanya akan merosakkan bibit-bibit persahabatan yang mungkin telah terjalin sekian tama. Sikap sedemikian timbul natijah wujud salah faham ketika berkomunikasi. Di sini saya ingin kongsikan gaya komunikasi yang boleh menggugat tali persahabatan.



Menilai


Menilai bererti memberi penilaian yang wajar kepada orang lain dan secara gopoh cuba memberi penyelesaian masalah yang dihadapi oleh mereka. Apabila anda menilai, anda tidak mendengar apa yang diperkatakan oleh orang lain. Sebaliknya anda lebih suka menilai wajahnya, nada suara serta perkataan yang digunakannya.

Contohnya:

Mengkritik secara melulu, "Awak memang tidak faham satu apa pun."
Melabel/memberi gelaran, "Awak tu memang bodoh dan lembab. Siapa tak tahu?"
Membuat kesimpulan awal, "Awak memang tidak suka berkawan dengan saya!"


Memberi Penyelesaian Yang Bersahaja


Sikap sebegini juga boleh menghalang komunikasi walaupun orang yang mendengar menunjukkan sifat mengambil berat dan ingin membantu. Sikap sebegini boleh menimbulkan anggapan sahabat kita bahawa perasaan, nilai, dan masalah mereka tidak penting. Malah mereka akan terasa diperkecil-kecilkan.

Contohnya:
Mengarah, "Awak mesti ikut saya ke kedai itu..,"
Mengancam, "Kalau awak tidak mahu meminjamkan saya buku nota awak, saya akan..."
Menyoal-siasat, "Awak pergi ke mana?""Dengan siapa awak pergi!""Apakah yang awak buat dengan dia?"
Memperkecil-kecilkan, "Macam tu pun awak dah anggap masalah... itu perkara kecil saja!"



Menafikan Kepentingan Orang Lain


Sikap menafikan kepentingan orang lain bererti menafikan terus masalah, perasaan, dan nilai orang lain. Sebagai sahabat dan pendengar, anda tidak mahu melayan kebimbangan, ketakutan serta kerisauan orang lain.

Contohnya:

Memberi nasihat, "Adalah lebih baik kalau awak ikut saja cara saya..."
Menyimpang daripada tajuk perbualan, "Ah! lupakan saja hal itu. Petang esok awak free?"
Bertengkar, "Sebenarnya, cara awak tu salah! Bagi saya..."

Demikian antara beberapa gaya komunikasi yang boleh menggugat tali persahabatan, jika diamalkan selalu. Seseorang sahabat berkawan dengan kita kerana ingin berkongsi perasaan dengan kita; bukan sekadar menjadi "Pak Turut" kemahuan kita. :)

No comments: