Wajah Jacko pada 18 Mei 2009
GAMBAR menunjukkan rumah tempat Jacko pengsan di Beverly Hills, Los Angeles kelmarin.
PEMINAT-PEMINAT Jacko berkumpul selepas mengetahui penyanyi itu meninggal dunia di luar pusat perubatan UCLA, Los Angeles kelmarin.
LOS ANGELES - Seorang anggota paramedik menceritakan detik-detik Raja Pop, Michael Jackson meninggal dunia selepas jantungnya terhenti di rumah yang disewanya di sini kelmarin.
Menurut satu sumber pusat perubatan iaitu tempat Raja Pop itu dihantar bagi memulihkan jantungnya, penyanyi tersebut pengsan selepas diberikan suntikan ubat penahan sakit iaitu Demerol yang sama seperti morfin.
Satu sumber penyanyi itu berkata: "Sejurus selepas mengambil Demerol, dia mula mengalami kesukaran bernafas.
"Pernafasannya beransur-ansur lemah dan perlahan sehingga terhenti."
Beberapa kakitangannya melakukan pernafasan dari mulut ke mulut dan ambulans tiba dalam tempoh lapan minit.
"Namun, dia didapati tidak bernafas dan tiada nadi. Mereka mula melakukan teknik Rususitasi Pulmonari Kardio (CPR) (untuk menghidupkan jantung) dan menghantarnya ke hospital," kata sumber.
"Apabila tiba, mereka (kakitangan pusat perubatan) mula melakukan usaha menghidupkan jantungnya dengan memberikan kejutan pada jantungnya, memasukkan tiub pernafasan serta lain-lain langkah sokongan dan cuba menyelamatkan nyawanya.
"Dia tidak pernah sedar semula. Keluarganya kemudian diberitahu dia sudah meninggal dunia," tambah sumber itu.
Bagaimanapun punca sebenar kematiannya masih belum diketahui sehingga satu bedah siasat dilakukan.
Michael yang terkenal dengan nama jolokan Jacko disahkan meninggal dunia pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (5.26 pagi semalam waktu Malaysia).
Anggota-anggota paramedik bergegas pergi ke rumah Jacko selepas menerima panggilan telefon kecemasan daripada salah seorang pembantu rumah itu.
Skrin komputer yang merakamkan panggilan anggota paramedik menyatakan: "Lelaki berumur 50 tahun tidak lagi bernafas pada keseluruhannya."
Waktu panggilan itu dicatatkan ialah 12.21 tengah hari waktu tempatan.
Menurut kenyataan Pusat Perubatan UCLA yang disiarkan kelmarin: "Legenda Raja Pop, Michael Jackson meninggal dunia pada Khamis 25 Jun 2009 pada pukul 2.26 waktu tempatan. Dia dipercayai menderita kerana jantungnya terhenti di rumahnya.
"Bagaimanapun, punca sebenar kematiannya masih belum diketahui sehingga keputusan bedah siasat diperoleh.
"Doktor peribadinya berada bersamanya ketika itu dan cuba untuk memulihkannya termasuk anggota paramedik yang menghantarnya ke Pusat Perubatan Ronald Reagan UCLA.
"Satu pasukan doktor termasuk pakar perubatan dan kardiologi cuba untuk memulihkannya bagi satu tempoh masa lebih sejam tetapi tidak berjaya."
Sebelum pengumuman itu, ibu Jacko, Katherine bergegas ke pusat perubatan itu manakala bapanya, Joe berada di Las Vegas dan diberitahu mengenai berita kematiannya.
Seorang doktor memberitahu saudara mara Raja Pop dan pembantunya bahawa semua usaha untuk menghidupkan semula jantungnya gagal.
Adik Jacko, La Toya dilihat berlari ke hospital dan menangis selepas abangnya diumumkan meninggal dunia.
Rakan karib Raja Pop, aktres Elizabeth Taylor turut bergegas ke pusat perubatan itu untuk memberikannya penghormatan terakhir. - Agensi
No comments:
Post a Comment