Thursday, May 13, 2010

Raja Lawak cedera



Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my


JOHAN dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas terkena gelas kaca, semalam.

SEREMBAN 12 Mei - Pelakon dan pengacara terkenal siri Raja Lawak, Johan cedera selepas terkena gelas kaca yang dilemparkan oleh seorang pengarah dalam satu pertengkaran di sebuah restoran di Taman Sri Pulai, Sikamat di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6.15 petang, Johan atau nama sebenarnya Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz, 26, dipercayai sedang berbincang di restoran tersebut selepas selesai sesi menjalani penggambaran sebuah drama.

Namun, sesi perbincangan itu bertukar menjadi pergaduhan sehingga pengarah berkenaan dipercayai membaling gelas yang ada di atas meja ke arah Johan sehingga menyebabkan kepala pelawak itu berdarah.

Sumber memberitahu, Johan berada di Seremban bagi menjalani penggambaran sebuah drama seram terbitan Astro Prima dan turut dibintangi oleh isterinya, Ozlynn Waty Ismail atau lebih dikenali sebagai Ozlynn.

Menurutnya, pertengkaran itu berpunca selepas pengarah berkenaan menegur sikap Johan yang sering lewat tiba di lokasi penggambaran yang baru berlangsung selama lima hari.

Bagaimanapun, pertengkaran mereka berjaya dileraikan oleh Ozlynn dan beberapa kru penggambaran yang turut berada di lokasi kejadian.

"Ekoran kejadian itu, Johan membuat satu laporan polis di Balai Polis Seremban 2 sebelum dibawa ke HTJ (Hospital Tuanku Ja'afar) untuk menerima rawatan lanjut.

"Keadaan Johan dilaporkan tidak membimbangkan dan dia hanya menerima beberapa jahitan di kepala dan diletakkan sebagai pesakit luar," katanya.

Usaha wartawan untuk menemubual Johan ketika di HTJ gagal selepas pelakon itu keluar mengikut pintu belakang bagi mengelak daripada gambarnya dirakam jurukamera.

Difahamkan pengarah berkenaan juga membuat satu laporan polis di Balai Polis Rahang di sini sejurus selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada kedua-dua mereka.

Beliau berkata pihaknya akan menyiasat secara lanjut mengenai kes berkenaan secara menyeluruh bagi mengenalpasti punca kejadian.

"Kita telah mengambil keterangan daripada kedua-dua pihak dan kita akan menyiasat apakah punca sebenar sehingga tercetusnya kejadian itu.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

No comments: