Thursday, May 27, 2010

Orang Asli peroleh pampasan tanah RM6.5j

2010/05/27
PUTRAJAYA: Kemenangan bagi 26 keluarga Orang Asli Temuan di Bukit Tampoi, Dengkil, apabila diberikan pampasan RM6.5 juta kerana tanah adat mereka diambil untuk membina Lebuh Raya Nilai-Banting ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 1995.

Pampasan itu diberikan berikutan Mahkamah Persekutuan semalam mencatatkan satu terma perjanjian penyelesaian antara mereka dan Kerajaan Persekutuan, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan kontraktor, United Engineers (M) Bhd (UEM).

Dalam satu perjanjian penyelesaian yang bersejarah itu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said yang mewakili kerajaan membacakan terma penyelesaian itu di depan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri James Foong.

Kamaluddin berkata, mengikut terma LLM bersetuju membayar RM6.5 juta kepada Orang Asli Temuan untuk kes itu diselesaikan sepenuhnya dalam masa sebulan dari semalam dan jumlah itu disimpan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk pembayaran.

Beliau berkata, jumlah itu diberikan kepada tujuh responden dalam kes ini serta individu yang tinggal di kawasan berkenaan. Tanah itu diduduki oleh masyarakat berkenaan lebih 200 tahun.

Mahkamah itu juga membenarkan permohonan Kamaluddin untuk menarik balik rayuan kerajaan, LLM dan UEM terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan tanah itu milik Orang Asli kerana ia tanah turun-temurun.

“Arahan kita ialah untuk menarik balik rayuan itu dan membacakan terma pelaksanaan dan pihak yang menyediakan terma itu,” kata Kamaluddin.
Peguam utama untuk Orang Asli, Datuk Dr C V Dass meminta kelulusan mahkamah untuk terma itu dibacakan dalam mahkamah terbuka untuk manfaat responden, yang hadir di mahkamah berkenaan.

Penasihat Undang-undang Selangor, Datin Paduka Zauyah Be Loth Khan memberitahu mahkamah kerajaan Selangor pada April tahun lalu, menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, lebih 50 anggota keluarga Orang Asli Temuan dengan memakai destar di kepala, berkumpul di luar mahkamah, dan lega dan berpuashati dengan keputusan itu.

Sagong, 79, ketika ditemui pemberita berkata beliau lega kes itu akhirnya selesai selepas 14 tahun.

Ditanya rancangannya mengenai wang pampasan yang akan diterimanya, beliau secara bergurau berkata: “Tidak tahu lagi nak buat apa sebab saya sudah tua, tapi mungkin nak beli rumah atau mungkin nak kahwin lagi”.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa sedih kerana kemenangan semalam tidak dapat dikongsi bersama empat lagi rakannya yang sudah meninggal dunia.

No comments: