4 jam dipaksa hisap 42 keretek
LANGKAWI: Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Pulau Tuba di sini, hampir pengsan selepas dipaksa menghisap 42 batang keretek sebagai hukuman daripada warden asrama yang juga guru sekolah terbabit kerana didakwa menyimpan sebatang rokok.
Mohd Alif Arifin, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi Pulau Tuba, dikenakan hukuman yang dianggap zalim itu selepas guru terbabit menemui sebatang rokok dalam laci asrama kepunyaan pelajar berkenaan pada 26 Julai lalu.
Dia dibawa ke bilik guru dan dipaksa menghisap tiga kotak setengah keretek mengandungi 42 batang sambil disaksikan beberapa guru lain dan pelajar sekolah menyebabkan air liurnya meleleh ke lantai manakala bibirnya kebiruan.
Mangsa mendakwa guru terbabit tidak membenarkan dia minum walaupun dahaga dan terpaksa menghabiskan masa empat jam untuk menghabiskan rokok disediakan guru disiplin berkenaan.
Guru terbabit hanya menghentikan hukuman itu selepas mendapati keadaan pelajar berkenaan sudah tidak terkawal sebelum menghantarnya ke klinik untuk pemeriksaan.
Ibu saudara mangsa, Faridah Mat Zain, 32, yang menganggap warden asrama itu bertindak keterlaluan terhadap anak saudaranya yang dijaga sejak kecil selepas kematian bapanya, berkata keluarganya tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang berikutan insiden itu.
“Saya benar-benar kecewa kerana selepas hukuman itu, Mohd Alif tidak dapat menjamah makanan selama lima hari dan dia menyembunyikan perbuatan keterlaluan guru terhadapnya daripada pengetahuan saya.
“Saya hairan apabila pihak sekolah membenarkan Mohd Alif pulang dari asrama dengan alasan kurang sihat. Bagaimanapun, selepas mendapati bibirnya bengkak, batuk berpanjangan dan tidak banyak bercakap, baru dia menceritakan hukuman menghisap 42 batang keretek.
“Saya membawa Mohd Alif ke Klinik Kesihatan Kampung Selat di sini, sehari selepas kejadian (27 Julai) tapi pegawai kesihatan mengarahkan dia mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Langkawi di Kuah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selat, Bagan Nyiur di sini, semalam.
Susulan itu, laporan berhubung kejadian itu dibuat bapa saudara mangsa, Husni Mat Zain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuah, pada 28 Julai lalu.
Faridah berkata, dia rela jika hukuman denda yang dilakukan guru terbabit mengikut peraturan sekolah jika kesalahan menyimpan rokok benar-benar dilakukan Mohd Alif.
“Mohd Alif berkali-kali menafikan rokok yang ditemui dalam laci miliknya di asrama sekolah kepunyaannya dan mendakwa ia diletak pelajar lain tanpa pengetahuannya,” katanya.
Faridah berkata, dia terkilan pihak sekolah tidak hadir untuk bertanya khabar atau melihat keadaan kesihatan Mohd Alif selepas membenarkannya pulang.
“Saya bersama beberapa anggota keluarga bergegas ke sekolah dan menemui pengetua, bagaimanapun pihak sekolah gagal memberi kerjasama dan menganggapnya sebagai kes terpencil,” katanya.
Sementara itu, Mohd Alif berkata, guru terbabit memasukkan empat batang rokok ke dalam mulutnya untuk dihisap dan apabila habis, perbuatan itu diulang guru berkenaan sehingga dia selesai menghisap 42 batang.
“Guru menghentikan hukuman hisap rokok selepas mendapati muka saya pucat, bibir kebiruan dan batuk. Ketika itu, saya sudah tak mampu meneruskan hukuman dan seolah-olah hendak rebah ke lantai kerana pening dan sakit kepala,” katanya.
Katanya, selepas seminggu bercuti, dia hadir ke sekolah pada Isnin lalu menyebabkan beberapa guru lain yang mengetahui kejadian itu bertanyakan kesihatannya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi, Halid Ali, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyifatkan hukuman dikenakan ke atas pelajar terbabit memang tidak wajar.
“Kami sedang menjalankan siasatan terperinci di sekolah berkenaan termasuk menemui pengetua dan guru disiplin yang menjalankan hukuman itu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada penjaga pelajar terbabit sehari selepas kejadian dan mengambil tempoh 14 hari untuk menyiapkan laporan.
Mengenai tindakan ke atas guru disiplin, beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan laporan kepada Jabatan Pelajaran Kedah untuk memutuskan sebarang tindakan sama ada digantung kerja atau ditukar ke sekolah lain.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Deputi Superintenden Harrith Kam Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan terperinci sedang dilakukan.