Wednesday, January 6, 2010

Penduduk diingat jangan boros & Orang Asli Berjaya

RAUB 4 Jan. - Para peneroka, masyarakat Orang Asli dan petani yang menerima pampasan berikutan tanah mereka terlibat dengan pembinaan Empangan Klau diingatkan supaya tidak boros sebaliknya melabur dan menyimpan wang tersebut untuk jaminan masa depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, mereka perlu menggunakan wang pampasan tersebut secara berhemah supaya masa depan masing-masing tidak terjejas.

''Kita tidak mahu apa yang terjadi kepada peneroka Felda L. B. Johnson, Sendayan, Negeri Sembilan berulang apabila berbelanja secara boros dan akhirnya menyebabkan penduduk kembali hidup miskin.

''Sehubungan itu, saya berharap mereka dapat menggunakan wang tersebut secara bijak dan berhemah agar tidak hidup susah di kemudian hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kemiskinan kepada 87 peserta tanah rancangan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Pahang di Sungai Chalit dekat sini hari ini.

Pembinaan Empangan Klau tidak lama lagi adalah bagi projek bekalan air dari Pahang ke Selangor yang dijangka siap pada 2013.

Shahiruddin memberitahu, kesemua 115 keluarga yang terlibat dalam pembinaan empangan tersebut telah menerima pampasan antara RM450,000 hingga RM600,000 pada hujung tahun lalu.

Katanya, bilangan itu termasuk 11 peserta Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Sungai Klau dekat sini yang telah menerima pampasan sebanyak RM6 juta.

Menurut beliau, tujuan kerajaan melaksanakan projek bekalan air itu bagi membolehkan rakyat mendapat bekalan air bersih secukupnya.

Shahiruddin menegaskan, rakyat tidak seharusnya terpedaya dengan dakyah pihak tertentu kerana kerajaan tetap membayar pampasan seperti yang dijanjikan jika kawasan tanah atau penempatan mereka terbabit dengan sesuatu projek.

"Tuduhan pembangkang bahawa kerajaan merampas tanah rakyat untuk pembangunan tidak benar sama sekali malah kerajaan mengadakan rundingan sebelum pengambilan tanah dibuat.

"Kerajaan tidak akan bertindak secara melulu atau berlaku zalim terhadap rakyat, malah sentiasa bertimbang rasa dan mengamalkan dasar bertolak ansur," jelasnya



ARKIB : 25/12/2009

Safwan bukti anak Orang Asli mampu bersaing

JOHOR BAHRU 24 Dis. - Keputusan 8A yang diperoleh Mohammad Safwan Rajab, 15, dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 membuktikan bahawa anak Orang Asli tidak ketinggalan dalam pelajaran.

Mohammad Safwan, daripada suku Orang Asli Kuala itu berharap kejayaannya boleh menjadi pembakar semangat kepada anak-anak Orang Asli lain.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Sardon, Batu Pahat itu berharap kecemerlangannya dalam pelajaran boleh dijadikan kayu pengukur bagi mengubah nasib keluarga.

"Ayah saya hanya nelayan, pendapatan tidak seberapa dan sebab itulah saya belajar bersungguh-sungguh. Saya ingin pastikan ibu bapa saya dapat hidup senang kelak," katanya.

Anak kedua daripada empat beradik yang menjadikan perpustakaan sekolah sebagai tempat belajar tidak menduga akan memperoleh 8A dalam PMR tahun ini.

Mohammad Safwan turut membuat formula sendiri bagi mata pelajaran Sejarah, Sains dan Matematik untuk memudahkannya belajar.

Sementara itu bapanya, Rajab Yasin, 44, yang turut menemaninya berharap lebih ramai anak Orang Asli berjaya dalam pelajaran mereka pada masa akan datang.

Menurutnya, keputusan PMR Mohammad Safwan membuktikan bahawa anak Orang Asli juga boleh berjaya dan bukan malas belajar seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya harap guru-guru yang memandang rendah pada kebolehan anak Orang Asli buanglah sikap itu. Kalau ada guru yang membezakan anak Orang Asli dengan pelajar lain, mereka akan rasa rendah diri dan malu untuk ke sekolah," katanya.

Seorang lagi anak Orang Asli yang berjaya mendapat 7A 1B ialah Nurul Nazwa Khairudin dari SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat.

Anak sulung daripada empat beradik yang sering memberi tumpuan setiap kali guru mengajar berharap kejayaannya akan menjadi inspirasi kepada adik-adiknya.

"Saya banyak bertanya kepada guru jika tidak faham kerana saya tidak pergi tuisyen seperti rakan-rakan lain.

"Apa pun saya berazam untuk memperbaiki subjek Bahasa Inggeris pada masa akan datang. Saya mahu membahagiakan keluarga dengan ilmu," katanya.

Bagi Dennie Lim Huey Chih, 15, masalah rabun yang dialaminya tidak menghalang untuk memperoleh 8A dalam PMR.

Pelajar SMK Sultan Ismail, Johor Bahru yang belajar menggunakan mesin pembesar perkataan di layar turut membawa mesin tersebut semasa menduduki peperiksaan.

"Masa peperiksaan, saya bawa mesin yang kecil kerana ia lebih selesa daripada menggunakan kanta," katanya yang belajar selama tiga jam sehari.

Anak ahli perniagaan, Steven Lim, 50-an yang bercita-cita menjadi doktor itu menghadapi masalah penglihatan sejak berusia lapan tahun.

Sementara itu, Goh Xian Peng, 15, dari SMK Pekan Nanas, Pontian yang mendapat 7A 1B walaupun mengalami masalah pendengaran sering meluangkan masa selama tiga jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran.

Selain itu dia juga mengikuti kelas tuisyen bagi memantapkan lagi penguasaan dalam subjek Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

"Saya lebih senang belajar sendirian daripada berkumpulan. Kalau tidak faham, saya tanya guru atau berbincang dengan kawan-kawan," katanya.

Meskipun ada masalah pendengaran, Xian Peng mahir bermain piano pada gred lima daripada bapanya yang merupakan guru muzik di Sekolah Muzik Yamaha.

No comments: