Monday, November 16, 2009

Magis Belantara


Tarikh: 14 November - 31 Disember 2009
Masa: 9.00 pagi - 6.00 petang
Tempat: Galeri 2, Muzium Negara

Pameran perubatan tradisional Orang Asli ini secara perbandingannya merangkumi tiga kelompok utama di Semenanjung Malaysia iaitu Senoi, Negrito dan Melayu Proto yang mengandungi 18 suku kaum. Walau bagaimana pun tumpuan pameran lebih kepada suku kaum yang besar dan utama seperti suku kaum Semai, Temiar, Jahut dan Temuan. Suku kaum lain walau pun tidak dinyatakan dalam pameran tetapi menggunakan herba yang sama cuma berbeza dari segi panggilan nama sahaja. Pameran ini juga hanya mengambil sebanyak 54 jenis herba yang popular dan lazim digunakan oleh Orang Asli dalam kehidupan seharian mereka.

Orang Asli mewarisi adat dan budaya yang kaya dengan pantang larang dari nenek moyang mereka. Sebagai masyarakat yang berpegang kepada fahaman animisme, sistem kepercayaan mereka dilindungi oleh semangat alam dan tumbuh-tumbuhan. Mereka amat mempercayai semangat baik dan semangat jahat yang menyelubungi setiap aspek dalam kehidupan seharian. Setiap benda atau perkara yang berlaku atau akan berlaku di sekeliling mereka dipercayai mempunyai semangat yang berkuasa untuk mengundang kesenangan atau kemudaratan.

Tumbuh-tumbuhan mempunyai hubungan yang rapat dalam mewarnai kehidupan masyarakat Orang Asli. Malahan kesinoniman mereka dengan alam tumbuhan ini menjadikan mereka pakar dalam bidang tersebut dan sering menjadi rujukan para penyelidik yang menjalankan kajian. Daripada akar pokok sehinggalah kepada buahnya, semuanya dikenalpasti mempunyai fungsi dan kegunaannya yang tersendiri. Tumbuh-tumbuhan bagi mereka mempunyai pelbagai kegunaan yang merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan mereka seharian samada dijadikan makanan, hiasan kediaman, kegunaan harian, kraftangan dan sudah pastilah perubatan. Pameran ini terbahagi kepada enam segmen iaitu :

Segmen 1

Pengenalan dan peranan herba dalam masyarakat Orang Asli

Segmen 2

Rahsia sumber herba iaitu keistimewaan herba, kepercayaan dan pantang larang semasa proses mendapatkan herba dari hutan

Segmen 3

Magis dan ritual seperti amalan Sewang dan Benisoy dalam perubatan

Segmen 4

Proses penghasilan sesuatu herba secara tradsisional dari sumber hutan hingga ke peringkat akhir serta peralatan yang digunakan dalam proses ini

Segmen 5

Herba yang telah dikormesilkan kepada skala yang lebih besar dengan penghasilan pelbagai produk oleh syarikat-syarikat besar

Segmen 6

Langkah-langkah pemuliharaan yang diambil oleh pihak kerajaan dan swasta melalui Akta, Penyelidikan saintifik (FRIM) dan penubuhan banyak taman-taman herba dan botanical

No comments: