Orang Asli dakwa lokasi insiden ‘keras’
KAMPAR: “Selain tapak jambatan gantung itu tidak dibina dengan baik, satu lagi penyebabnya runtuh ialah ia terletak di kawasan ‘keras’.
“Mungkin ada individu yang bermulut cabul dan tidak menghormati kawasan sekitar kubur lama terletak kurang 20 meter dari kawasan kejadian menyebabkan insiden ini berlaku,” kata Tok Batin Pos Dipang, Bah Sermu Bah Udin, 45.
Beliau mengulas insiden jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan, Kuala Dipang di sini, malam kelmarin.
Seramai 19 mangsa berjaya diselamatkan manakala tiga lagi dihanyutkan arus deras Sungai Kampar.
Seorang murid perempuan dikenali N Dina Deve, 12, ditemui lemas oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 8.30 pagi, semalam, iaitu hampir satu kilometer dari tempat kejadian, manakala dua lagi murid masih belum ditemui.
Insiden malam kelmarin mengimbau kembali tragedi berdarah banjir lumpur yang menggemparkan negara pada 1996 menyaksikan 44 orang mati dengan kebanyakannya masyarakat orang Asli di Pos Dipang yang terletak hanya kira-kira 5 kilometer dari tempat kejadian.Tiga anak buah Bah Sermu ialah murid Sekolah Kebangsaan Pos Dipang yang turut menyertai kem berkenaan terselamat.
Bah Sermu berkata, kewujudan kubur lama yang penuh misteri dalam belukar berhampiran tapak kem terbabit, mungkin tidak disedari pihak pengurusan kem termasuk penduduk tempatan.
Beliau percaya kubur lama itu berusia hampir 100 tahun dan mungkin kawasan perkuburan penduduk asal di Kuala Dipang namun tidak ramai yang mengetahui mengenainya kecuali penduduk Orang Asli yang biasa ‘menggagau’ (menangkap ikan menggunakan tangan) di sungai itu.
“Saya tidak menolak kemungkinan kejadian berlaku disebabkan ada pihak tidak menghormati ‘penunggu’ kawasan berhampiran kubur lama ini dan bermulut cabul. Saya berharap pihak pengurusan kem dan penduduk tempatan lebih prihatin dan menghormati kehadiran makhluk halus di kawasan ini supaya kejadian sama tidak berulang.
“Saya begitu takut ketika dimaklumkan mengenai laporan awal 22 murid sekolah hilang dihanyutkan arus Sungai Kampar kerana di sungai inilah kebanyakan mayat mangsa tragedi banjir lumpur yang menimpa perkampungan saya pada 1996 ditemui,” katanya ketika menunjukkan kawasan kubur lama itu kepada wartawan Harian Metro, semalam.
Sementara itu, Apa Bengal, 60, penduduk di Pos Dipang yang menemui kubur lama itu kira-kira 10 tahun lalu, turut mengakui kawasan tapak kem berkenaan keras.
“Ketika kali pertama menemui tapak perkuburan ini, darah saya tiba-tiba berderau dan bulu roma saya meremang. Terdapat kira-kira enam hingga tujuh kubur lama termasuk satu kubur besar dipercayai milik golongan bangsawan.
“Saya bersama beberapa rakan terus melarikan diri kerana berasa tidak sedap hati. Saya sudah biasa masuk dalam hutan dan mengetahui di mana kawasan keras dan sebaliknya. Apa boleh saya katakan, kawasan sekitar kubur ini memang berpenunggu,” katanya sambil berharap penduduk setempat lebih prihatin dan menghormati kawasan kubur itu.