Tuesday, October 26, 2010

Mahu penjelasan elaun tok batin

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) meminta kerajaan memberi penjelasan mengenai elaun bulanan ketua masyarakat Orang Asli yang dikatakan naik dari RM450 kepada RM800, kerana ia berbeza dengan jumlah yang mereka terima selama ini.

Wakilnya, Tijah Yok Chopil mendakwa, selama ini elaun yang diterimanya hanya RM200 sebulan daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) berbanding RM450 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2011 minggu lalu.

"Selama ini, semua ketua masyarakat Orang Asli hanya menerima RM200 sebulan yang dibayar JHEOA tiga bulan sekali," katanya pada sidang akhbar di pejabat Majlis Peguam Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu menyiasat perkara itu dengan terperinci kerana dikhuatiri berkemungkinan terdapatnya unsur-unsur penyelewengan.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Buluh Nipis, Kelipit Tijit mendawa, sepanjang menjadi ketua masyarakat Orang Asli ditempatnya, dia tidak pernah menerima elaun sebagai ketua masyarakat.

"Kami di sini ibarat menjadi pengemis kerana jumlah elaun yang diterima melalui projek tanaman kelapa sawit yang dilaksanakan JHEOA terlalu sedikit berbanding jika diusahakan sendiri," katanya.

Thursday, October 7, 2010

Keburukan lebih banyak daripada manfaat

2010/10/07


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Manfaat laman web rangkaian sosial popular sama ada Facebook, Friendster dan Myspace bukan hanya sekadar mengeratkan silaturahim serta bertanya khabar sedangkan keburukan ‘ditawarkan’ lebih banyak.
Pengerusi Rumah Iman Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abdul Malek berkata, antara keburukan menanti ‘penagih’ laman web itu merangkumi membentuk sikap lalai, boleh meruntuhkan rumah tangga termasuk mempengaruhi remaja berzina.


“Rumah Iman kendalian Sidim menempatkan beberapa remaja perempuan yang terjebak dalam gejala zina berpunca daripada Facebook. Mereka terpengaruh dan ghairah dengan kata-kata pujian serta pujaan lelaki menerusi Facebook sehingga membawa perbuatan zina.


“Facebook itu juga menyebabkan berlaku kes perceraian kerana suami atau isteri curang selepas berkenalan dengan kekasih menerusi laman web sosial itu, sekarang ada pula kejadian seorang pelajar dipukul kerana Facebook,” katanya yang dihubungi semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Harian Metro Isnin lalu mengenai pelajar tingkatan lima sebuah sekolah asrama di Lenggong, Perak yang cedera di mata dan dahi akibat dipukul rakan sekelas selepas dituduh menceroboh laman sosial facebook milik kawannya.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, Aiman Asyraf, 17, dibelasah teruk kerana dikatakan menceroboh akaun Facebook milik rakannya kerana mengetahui kata laluan.


Hanafi berkata, walaupun kejadian itu boleh dianggap terpencil namun ia jelas menunjukkan akibat buruk daripada penggunaan laman web sosial.


“Kalau di jabatan kerajaan atau swasta pula, ketagihan melayari laman web sosial ini menyebabkan produktiviti menurun dan pendapatan bulanan sepatutnya diperoleh daripada bekerja disia-siakan dengan aktiviti melalaikan sebenarnya tidak berkat.


“Facebook baru diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu saja tetapi kesannya menyebabkan kita lalai dan ia boleh menjurus ke arah keghairahan maksiat. Kalau sekadar mahu bertanya khabar atau mengeratkan silaturahim, banyak lagi medium lebih baik boleh digunakan,” katanya.


Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi sebuah kenyataan sebelum ini berkata, kematangan berfikir penting bagi setiap individu yang menggunakan media baru seperti laman web sosial untuk menilai kebaikan dan keburukan setiap aktiviti di alam maya.


“Kewujudan laman web sosial dapat mengeratkan tali silaturahim, mempertemukan sahabat lama terpisah, mengikuti perkembangan aktiviti pemimpin, bertanya khabar dengan cara paling menjimatkan, berbincang, nasihat menasihati, berkongsi pengalaman dan petua serta banyak lagi kebaikan yang mampu dimanfaatkan pengguna laman web rangkaian sosial ini.

“Tetapi tidak dinafikan terdapat penyalahgunaannya oleh segelintir masyarakat. Segelintir pihak menggunakannya sebagai medium meluahkan rasa tidak puas hati dan ia bukan cara terbaik kerana penyalahgunaan laman web sosial tidak dapat menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.


Menurutnya, apa yang penting semua pihak perlu berhati-hati, cermat dan bertanggungjawab ke atas segala maklumat yang ingin disebarkan serta dikongsi agar ia tidak membawa padah kepada diri dan orang lain.

Jerat kenalan Facebook

Oleh Suraya Roslan dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Tiga beranak, seorang rakannya dan dua anggota polis yang cuba meleraikan satu pergaduhan dibelasah sekumpulan 50 lelaki di sebuah medan selera di Bandar Tun Razak, awal pagi kelmarin.

Kejadian dipercayai bermula apabila seorang jurujual, Mohd Farhan Othman, 20, meminta rakannya, Mohd Nazren Akmar Nazlan, 20, menemaninya untuk bertemu seorang wanita yang baru dikenali melalui laman sosial Facebook, kira-kira jam 2 pagi.


Mohd Farhan berkata, dia hanya beberapa kali berhubung dengan wanita berkenaan dan tidak pernah bertemu muka atau bercakap di telefon.


“Seperti dijanjikan, saya dan Nazren berjumpa dengan wanita terbabit yang dikenali sebagai Linda berusia 20-an. Saya yang memandu kereta kemudian mengarahkan Linda masuk ke dalam kereta tetapi wanita itu enggan sebaliknya mengajak kami minum di gerai berhampiran.


“Tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki diketuai teman lelaki Linda yang bertindak mengepung medan selera berkenaan. Melihat perbuatan itu, Nazren cuba bertanya apa sebenarnya yang berlaku.


“Teman lelaki Linda kemudian menuduh kami menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah kepada teman wanitanya sedangkan saya tidak tahu pun nombor telefon bimbit wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui.


Beliau berkata, dia meminta teman lelaki wanita terbabit menunjukkan bukti dan SMS lucah berkenaan.


“Bagaimanapun, mereka gagal menunjukkan bukti itu sebelum bertindak membelasah Nazren. Saya sempat mengelak sebelum bapa Nazren dan abangnya yang dimaklumkan kemungkinan berlaku pergaduhan tiba sebaik dihubungi,” katanya. Katanya, sebaik bapa Nazren dan abangnya tiba untuk membantu, mereka turut dibelasah kumpulan itu. Kali ini jumlah mereka yang terbabit membelasah mereka bertambah ramai kerana pekerja gerai makan di medan selera itu turut mengambil kesempatan.


“Pada masa sama dua anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan jenayah di kawasan itu cuba masuk campur untuk meleraikan pergaduhan itu sebaliknya mereka turut dibelasah.


“Bagaimanapun, anggota terbabit hanya cedera ringan. Semua lelaki terbabit sempat melarikan diri sebaik sebuah kereta peronda polis muncul untuk memberi bantuan,” katanya.


Sebaik semua lelaki itu melarikan diri, Nazren didapati mengalami pendarahan teruk di kepala dipercayai dihentak dengan objek keras dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Dia terpaksa menerima 20 jahitan di kepala manakala ibu jari kakinya hampir hancur manakala abangnya turut dirawat di hospital sama akibat kecederaan di dagu. Bapanya, Farhan dan dua anggota polis pula hanya cedera ringan.


Sementara itu, Mohd Nazren berkata, dia yang ketika itu sudah lemah dibelasah teruk kumpulan terbabit tiba-tiba melihat dua daripada mereka mengambil sebatang besi dan menghentak kepalanya hingga pengsan.


“Apa yang dikesalkan, saya dapat melihat orang awam di sekitar medan selera itu turut membelasah kami, malah ada antara mereka yang memakai ‘apron’ dapur semata-mata untuk menyertai ‘pesta’ berkenaan. Mereka sepatutnya membantu kami, bukannya menyokong kumpulan samseng berkenaan.


“Saya hanya sedar apabila berada di wad kecemasan dengan kepala berlumuran darah dan tidak dapat mengingati apa yang berlaku, saya sedih kerana abang turut dimasukkan ke wad hanya kerana ingin membantu saya,” katanya.

Nazren turut membuat laporan polis di PPUKM kerana tidak berpuas hati dipukul tanpa sebab. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Wednesday, October 6, 2010

RTM Pelawa Ahli Muzik Ke Temuduga Sertai Kombo Perakfm

IPOH, 4 Okt (Bernama) -- Jabatan Penyiaran Negeri Perak hari ini mempelawa ahli-ahli muzik untuk menghadiri sesi uji bakat dan temuduga bagi menganggotai Kombo Perakfm.

Pemilihan bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli Muzik Gred B27 itu akan diadakan di PerakFM di sini dari 10 pagi hingga 5 petang pada Isnin depan, kata pengarahnya Noriaini Mohd Idris.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata ujibakat itu bertujuan mencungkil bakat baru bagi memantapkan Kombo Perakfm yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi.

Mereka yang berminat perlu menepati syarat seperti mempunyai bakat dan kemahiran bermain alat muzik, boleh menulis dan membaca nota muzik dan mempunyai kelayakan akademik yang setaraf.

"Calon-calon yang berpengalaman sebagai pemuzik profesional melebihi tiga tahun juga layak untuk menyertai temuduga ini," katanya.

Noriani berkata untuk sesi temuduga itu, setiap calon dikehendaki membawa alat muzik sendiri yang akan dimainkan kecuali deram, piano dan keyboard.

Calon juga dikehendaki memainkan lagu gubahan sendiri semasa temuduga itu, katanya.

-- BERNAMA

Saturday, August 28, 2010

Bantuan Aidilfitri kakitangan awam Rabu 1 Sept 2010

2010/08/28
KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk 1.24 juta kakitangan awam sempena Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri, Khamis lalu akan mula dibayar pada Rabu, 1 September ini manakala pesara akan menerima bayaran pada 6 September (Isnin).

Menurut pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) semalam, bayaran bagi pesara yang menerima pencen menerusi waran akan diposkan sebelum tarikh berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2010 menyatakan Bantuan Khas Kewangan itu dibayar kepada kakitangan awam yang berkhidmat pada tahun ini.

Katanya, perkiraan Bantuan Khas Kewangan adalah tertakluk kepada genap satu bulan perkhidmatan dan kiraan genap satu bulan perkhidmatan bermaksud satu bulan kalendar.

Thursday, August 26, 2010

Dapat bantuan raya RM500

2010/08/26

KUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan semalam mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan RM500.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dalam satu kenyataan semalam, bayaran itu bagi petugas dalam Gred 1 hingga 54 serta pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.


“Keputusan ini diambil selepas mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara terutama bagi meringankan persediaan Aidilfitri,” katanya yang juga Menteri Kewangan. Katanya, bayaran itu membabitkan RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara. - Bernama

Sunday, August 15, 2010

8 ditahan merokok pada siang Ramadan

2010/08/14
GEORGETOWN: Tindakan agresif seorang warga emas yang enggan menyerahkan kad pengenalannya untuk diperiksa mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Ramadan di Lorong Kulit di sini, kelmarin.
Warga emas berusia 50-an itu antara lapan lelaki ditahan dalam beberapa lokasi berasingan kerana menghisap rokok secara terbuka dan tidak menghormati Ramadan sepanjang dua hari umat Islam berpuasa.


Dalam pemeriksaan pada hari pertama, sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menahan dua lelaki di kawasan Lorong Kulit dan Butterworth.


Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, dalam operasi kira-kira jam 10.30 pagi di kawasan Lorong Kulit itu seorang lelaki warga emas dilihat menghisap rokok di tempat terbuka tanpa segan silu.


Beliau berkata, ketika menghampiri warga emas berkenaan dia enggan memberikan kerjasama kepada pegawai penguat kuasa agama apabila diminta menyerahkan kad pengenalannya untuk diambil keterangan diri.